Tuesday 30 November 2010

Profil Daerah Kerian


Daerah Kerian berkeluasan lebih kurang 95,830 hektar iaitu antara daerah yang terkecil di negeri Perak. Ianya terletak di bahagian barat laut negeri Perak yang turut membentuk sempadan antara negeri Perak dengan Pulau Pinang dan Kedah. Daerah Kerian dibahagikan kepada 8 mukim iaitu, Mukim Parit Buntar, Mukim Kuala Kurau, Mukim Tanjung Piandang, Mukim Beriah, Mukim Selinsing, Mukim Bagan Serai, Mukim Gunung Semangol dan Mukim Bagan Tiang.

Kawasan pertanian menjadi guna tanah utama di Daerah Kerian yang menguasai 57% daripada keluasan daerah dengan tanah pertanian (selain padi) melibatkan 35% meliputi tanaman kelapa sawit, getah dan buah-buahan. Manakala tanaman padi melibatkan 22% dengan Kerian sebagai skim pengairan padi utama di Perak selain Sungai Manik. Kawasan tanaman padi menguasai bahagian barat dan tengah daerah seperti di sekitar kawasan Parit Buntar, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Serai, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing. Sebagai sebuah jelapang padi utama bagi Negeri Perak selain Sungai Manik, kawasan tanaman ini seharusnya menjadi kawasan yang memerlukan langkah pemeliharaan alam sekitar agar pembangunan fizikal tidak menjejaskan skim pengairan yang dimajukan.

Hutan simpan juga merupakan guna tanah utama yang menguasai 30% daripada keluasan daerah. Ianya adalah Hutan Simpan Paya Bakau Kuala Gula meliputi kawasan pantai dari Kuala Kurau ke Kuala Gula hingga ke Kelompang. Hutan simpan ini bersambungan dengan Hutan Simpan Paya Bakau Larut Matang iaitu di Kuala Sepetang yang diiktiraf sebagai hutan paya bakau yang berkualiti tinggi. Hutan simpan juga merupakan kawasan sensitif alam sekitar yang perlu dipelihara untuk kesejahteraan kehidupan dan menjadi eset pelancongan eko.

Kawasan perbandaran dan petempatan termasuk kawasan perumahan, perniagaan, perindustrian dan kemudahan hanya melibatkan kawasan 1% sahaja. Ianya meliputi kawasan bandar Parit Buntar, Kuala Kurau, Bagan Serai dan Tanjung Piandang.

Daerah Kerian mempunyai penduduk seramai 160,000 orang pada tahun 2002 dan dijangka meningkat kepada 167,200 orang menjelang Tahun 2010 dan 187,600 orang menjelang Tahun 2020. Kegiatan ekonomi utama penduduk adalah kegiatan pertanian khususnya pesawah padi dan kegiatan perikanan yang menjadi warna kehidupan di sini. egiatan nelayan dan aktiviti yang bersangkutan dengannya seperti penternakan ikan dan pemprosesan ikan kering banyak dijalankan di Kuala Kurau, Tanjung Piandang, Kuala Bagan Tiang dan Kuala Gula.